<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/plusone.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d3974117245351712235\x26blogName\x3dAroma+Minda\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttp://anuarsetu.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://anuarsetu.blogspot.com/\x26vt\x3d7722931848242036892', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>
 
 
Monday, October 10, 2011

Manifestasi Rasa

Dalam kelas Penulisan Kreatif yang saya ambil kini, penulisan cerpen terbahagi kepada dua di bawah dua pensyarah yang berbeza. Bagi cerpen pertama, temanya adalah ‘Masakan dan Makanan’ yang sedang saya usahakan kini. Lalu, ini mengingatkan saya kepada novel bebas yang berjudul Karipap Karipap Cinta.

Novel ini baru sahaja diadaptasikan ke dalam sebuah filem berjudul sama dan ditayangkan di pawagam bulan lepas. Secara jujurnya, saya belum sempat habis membaca novel tersebut. Jadi, saya tidak berapa tahu bagaimana jalan ceritanya.

Walau bagaimanapun, saya telah lama mengikuti perkembangan penulis novel tersebut yang mana beliau sendiri merupakan seorang blogger. Menerusi karya-karya nukilannya di blog itu, saya boleh katakan bahawa ianya bersifat experimental. Oleh itu, saya mengandaikan bahawa intisari bagi novelnya itu juga sedikit sebanyak bersifat experimental.

Saya terfikir untuk mengambil sedikit inspirasi daripada karya-karya beliau pada mula saya mahu merangka cerpen saya. Namun begitu, saya berubah fikiran setelah membaca buku Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen (2011) yang disusun oleh Prof. Madya Dr. Mawar Safei dan Nisah Haji Haron. Himpunan cerpen di dalam buku tersebut membuatkan saya mahu mengadaptasikan sedikit pengalaman sendiri ke dalam cerpen saya nanti.

Saya merasakan bahawa pengalaman sendiri lebih mudah untuk dipindahkan ke dalam sesebuah karya berbanding berfantasi di luar kotak pemikiran semata-mata. Jadi, disebabkan ianya perlu bersifat experimental, maka saya mahu cuba menggabungkan pengalaman peribadi dan fantasi atau fiksyen ke dalam cerpen saya nanti. Justeru itu, saya perlu bermula dari kosong semula.

Apa-apa sekalipun, saya berharap agar cerpen tersebut boleh menjadi kebanggaan saya nanti. Ini boleh dikatakan cerpen pertama yang saya akan tulis secara serius. Jadi, kita tengok sahajalah nanti bagaimana.

SEKIAN
11:33 PM
1 KATA HATI
Sunday, October 9, 2011

Makanan Raya

Bulan Syawal telah lama berlalu, namun saya rasa tidak salah kalau saya bercerita sedikit tentangnya. Lagipun, saya terlupa untuk menceritakannya dalam pos-pos lalu. Jadi, saya mahu mengambil sedikit peluang untuk bercerita mengenai suasana raya yang berlaku lama dahulu.

Sebenarnya, saya sangat merindui suasana raya di mana arwah ayah, datuk dan nenek masih hidup. Sewaktu arwah ayah masih hidup, hari pertama Syawal boleh dikatakan rumah terbuka bagi rumah kami. Ini kerana waktu tersebut, rakan-rakan arwah ayah (ramai yang berbangsa Cina dan India) sangat ramai yang datang beraya.

Jadi kebiasaannya, ibu akan memasak banyak jenis masakan yang termasuk di sini daging lembu, kambing dan ayam. Tidak cukup dengan itu, ibu akan memasak pula laksa johor atau mi soto. Pada satu-satu tahap, bukan ibu sahaja, malah saya adik-beradik akan sangat kepenatan kerana perlu melayani tetamu yang datang.

Di sini, saya boleh melihat perpaduan kaum itu sangat baik. Tambahan pula, arwah ayah sangat baik dengan bangsa-bangsa lain. Oleh itu, adalah tidak menghairankan apabila mereka ini tidak pernah terlupa untuk singgah beraya di rumah kami setiap tahun.

Sebenarnya, menerusi budaya begini, kita boleh mengetahui budaya lain juga. Misalnya, terdapat masyarakat lain yang beragama Buddha dan Hindu tidak memakan beberapa jenis makanan seperti daging lembu. Maka disebabkan itulah arwah ayah menyediakan pelbagai jenis masakan sewaktu Aidilfitri kerana memahami perbezaan budaya tersebut.

Namun, kenangan itu hanya tinggal sebagai satu memori indah. Saya mungkin sudah tidak dapat merasainya lagi, tetapi saya berharap agar saya dapat mencontohinya. Bagi saya, di sinilah kita boleh membina perpaduan dengan lebih akrab lagi.

SEKIAN
4:30 PM
0 KATA HATI
Saturday, October 8, 2011

Dulu Dan Sekarang

Gambar oleh: Trek Earth dan McKroes

Dengan kemajuan negara kita yang pesat ini, saya percaya bahawa corak makanan dahulu dan sekarang memang berbeza. Pada waktu kini, kita terlalu banyak dilambakkan dengan makanan segera. Contoh paling mudah adalah produk-produk McDonald’s dan Kentucky Fried Chicken (KFC).

Waktu saya kecil dahulu, kebarangkalian untuk saya makan makanan-makanan segera adalah rendah. Ini kerana arwah ayah dan ibu tidak menggalakkan saya mengambil makanan-makanan segera. Tambahan pula, arwah ayah ketika hayatnya sangat gemar memancing, lalu acap kalilah dibawanya pulang pelbagai jenis ikan.

Saya pula tidak pernah berkesempatan mengikut arwah ayah pergi memancing kerana tidak diizinkannya atas faktor-faktor keselamatan. Lagipun, arwah ayah bersama-sama rakan-rakannya kerap memancing di laut dalam. Disebabkan itulah, pelbagai jenis ikan laut pernah saya rasai dahulu.

Selain itu, makanan yang saya makan di waktu kecil banyak yang berupa masakan kampung. Disebabkan itu, dalam pos saya sebelum ini, saya ada menyatakan tentang satu jenis masakan yang menggunakan kulit buah pisang sebagai bahan masakan utama. Jika anda belum pernah dengar tentangnya, anda boleh mencubanya kerana masakan itu memang sedap.

Jadi, apabila saya melihat generasi kini, saya merasakan bahawa mereka sedikit rugi. Rugi di sini maksud saya adalah kerana mereka tidak dapat merasai masakan-masakan kampung yang ‘pelik-pelik’ rupanya. Apa boleh buat, mereka hidup pada zaman makanan-makanan segera bermaharajalela, di dalam restoran berpenghawa dingin (atau pendingin hawa?).

Justeru itu, saya fikir generasi sekarang akan mengambil masa untuk mengenali masakan-masakan kampung. Saya tidak salahkan mereka, kerana saya sendiri pun masih lagi mengalami masalah untuk mengenali jenis-jenis masakan walaupun saya berkesempatan merasainya sewaktu kecil dahulu. Apa boleh buat, asyik sangat dengan makanan segera, bukan?

SEKIAN
4:05 PM
0 KATA HATI
Friday, October 7, 2011

Semanis Milo

Sewaktu kecil dahulu, saya ada satu tabiat memakan serbuk Milo. Biasalah, kanak-kanak memang gemarkan sesuatu yang manis. Jadi, satu-satunya makanan yang paling saya suka dahulu adalah apa-apa yang berkaitan dengan cokelat atau koko.

Apa yang lucunya, saya akan memakannya tanpa pengetahuan ibu. Ini kerana jika ibu tahu saya mengambilnya tanpa kebenaran, pasti saya akan dimarahinya disebabkan ianya terlalu manis. Tetapi pada akhirnya, ibu mengetahuinya juga apabila melihat kandungan Milo yang semakin berkurangan.

Namun begitu, semakin saya meningkat dewasa, minuman yang mengandungi cokelat atau koko ini semakin kurang saya ambil. Saya lebih banyak mengambil kopi atau teh sebagai minuman utama. Saya tidak tahu kenapa, tetapi mungkin ia ada kaitan dengan rasa pahit yang lebih saya gemari kini.

Apa yang menariknya, walaupun terdapat banyak produk yang sama seperti Milo (misalnya Vico), tetapi ramai yang memanggilnya sebagai Milo juga. Ini tidak menghairankan kerana saya percaya setiap isi rumah yang ada di Malaysia pasti memiliki Milo sebagai antara bahan minuman utama. Pengaruh dominannya yang lama itulah yang menyebabkan orang ramai memanggil produk-produk serupa dengan nama Milo juga.

Apa sekalipun, percayalah bahawa kebanyakan lelaki yang meningkat dewasa akan mula melupakan minuman koko atau cokelat kesukaannya sewaktu kecil. Minum itu masih lagi, cuma tahap kekerapannya sahaja berbeza. Saya pula tidak mempunyai masalah, kerana sehingga sekarang pun, saya masih lagi memakan Milo begitu sahaja.

SEKIAN
3:35 PM
0 KATA HATI
Thursday, October 6, 2011

Masakan Ibu

Orang selalu berkata bahawa air tangan ibu itu tiada tolok bandingnya. Ini adalah benar dan saya sangat setuju. Ini kerana dari kecil sehingga dewasa, kita sudah biasa dengan masakan ibu sendiri.

Barangkali, masakan ibu Ahmad tidak sesedap masakan ibu Ali. Tetapi bagi Ahmad, masakan ibunya adalah sangat sedap dan tidak terdapat di mana-mana tempat. Meskipun ada sebuah restoran terkenal di daerahnya, Ahmad masih lagi merasakan bahawa masakan ibunyalah yang paling sedap.

Saya memanglah seorang lelaki, tetapi saya dapat mengerti apa yang terkandung dalam pemikiran ibu saya ketika dia menyediakan makanan. Setiap kali saya mahu pulang ke Bangi, jika ada kesempatan, pasti ibu saya akan menyediakan masakan yang tidak mampu saya tolak. Ini kerana segala kasih sayang seorang ibu turut terkandung dalam masakan tersebut sama ada kita sedar atau tidak.

Sebenarnya, adalah berbeza menyediakan makanan untuk diri sendiri dan orang lain. Jika kita menyediakan makanan untuk diri sendiri, asalkan ianya mempunyai cukup rasa dan sesuai dengan jiwa, maka ianya mudah sahaja dibuat. Akan tetapi, bagi saya, menyediakan makanan untuk orang lain adalah berlainan kerana di situ kita turut melontarkan perasaan kita dalam masakan tersebut.

Mahukah kita mendengar rungutan orang lain yang tidak suka akan makanan yang kita siapkan? Jawapannya sudah tentu tidak. Justeru itu, saya amat mengagumi para ibu yang teliti dalam menyediakan makanan untuk keluarganya.

Oleh itu, selagi ibu masih hidup, saya akan tetap makan apa yang dimasaknya walaupun mungkin ada masakannya yang sudah kehilangan rasa (tidak sama seperti dahulu). Lagipun, setiap masakan ibu adalah enak dan berlainan bagi setiap orang. Dan apa yang pasti, ia tidak akan sama dengan masakan orang lain, apatah lagilah masakan sendiri.

SEKIAN
3:16 PM
0 KATA HATI